Translate in your language

Monday 27 August 2012

IFF MEDAN PAMER EVOLUSI FESYEN ISLAM


IFF paling jelas untuk memberitahu seluruh dunia mengenai keindahan fesyen dalam konteks agama Islam. Saya mahu membantu mengelakkan salah faham setengah pihak bahawa Islam ada pertalian dengan keganasan.

“Kerana itu IFF mengembara dari satu kota ke satu kota untuk menyatakan bahawa evolusi fesyen Islam sentiasa berlaku. Secara tidak langsung, ia akan mudah menarik perhatian bukan Islam untuk mendekati dan memahami dengan lebih jelas budaya umat Islam," kata Raja Rezza merumuskan penganjuran IFF 2012 yang baru-baru ini berlangsung di kota percutian popular, Bali.

Kehadiran IFF 2012 ke Bali jelas beliau, merupakan janji penganjur untuk meluaskan lagi pengaruh fesyen Islam di destinasi-destinasi liburan popular antarabangsa.

Ini kerana, kunjungan sedemikian akan membantu membuka pasaran fesyen Muslim di peringkat yang lebih luas.

Apa lagi kehadiran IFF kali ini ke Bali dianggap cukup istimewa kerana pentas peragaan itu turut berjaya menarik kehadiran pereka fesyen ternama, Milo Migliavacca iaitu salah seorang daripada pereka bukan Muslim yang tidak asing dalam industri fesyen Indonesia. 

Milo merupakan nama yang sangat gah di pentas fesyen Indonesia. Persetujuan beliau memperagakan fesyen berteraskan tema The Splendour of Bali disifatkan Raja Rezza sebagai satu kejayaan bagi IFF edisi ke-22.

“Saya secara peribadi menganggap penglibatan Milo dalam IFF memberi sinar dan warna lebih ceria dalam gaya busana Muslimah.

“Untuk seorang pereka berpengaruh seperti beliau menyokong penuh objektif IFF merupakan satu hal yang menarik kerana selama ini beliau bukannya menghasilkan busana Muslimah, tetapi di IFF Milo telah memberikan sentuhan yang luar biasa," ujar Raja Rezza lagi.


Rekaan dinamik

Sejak IFF diperkenalkan pada 2006, keindahan busana Muslimah memperlihatkan betapa fesyen berkenaan semakin diterima di peringkat antarabangsa.

Melalui penyertaan pereka-pereka fesyen ternama tempatan dan antarabangsa, evolusi fesyen Islam berlaku dengan pantas.

Tiada lagi identiti busana Muslimah yang stereotaip, sebaliknya, suntikan baru yang diberikan oleh pereka-pereka fesyen membuatkan rekaan Islam semakin dinamik dan segar tanpa mengenepikan tuntutan-tuntutan Islam.

Tentu sekali, pereka-pereka yang dijemput memberikan komitmen dalam IFF sudah diberi peringatan awal-awal bahawa mereka tidak boleh mengabaikan tuntutan syariat Islam.

Kerana itu, pada IFF edisi Bali baru-baru ini, kehadiran nama-nama besar dalam industri fesyen seperti Datuk Farah Khan dan Datuk Tom Abang Saufi dari Malaysia, Milo dan Paul Ropp (Indonesia) serta pakaian renang berteraskan Islam rekaan Nuraini Mohd. Ariffin dan Nor Aini Shariff telah memberikan justifikasi terhadap apa yang diharapkan oleh penganjur.

Bagi Farah Khan, penyertaan kali pertama beliau dalam IFF memberikan satu perspektif baru kepadanya mengenai keindahan fesyen Islam yang boleh diteroka dengan pesat lagi pada masa depan.
“Pada saya, menghasilkan fesyen Islam merupakan satu cabaran kerana setiap pereka harus memelihara kesucian agama itu dalam segenap aspek.

“Paling utama ialah bagaimana untuk memberikan sentuhan yang tidak terlalu menonjolkan tipikal Islam. Sebaliknya, perlu ada gabungan rekaan yang dinamik dan segar tetapi menepati kehendak syariat," ujar pereka ternama Malaysia itu.

Apa yang menariknya, IFF yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarga diraja Melayu terkenal di Malaysia, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

Pasangan diraja itu yang tidak pernah putus memberi sokongan pada IFF berpandangan, acara fesyen sedemikian boleh memberi perspektif baru kepada masyarakat Malaysia mengenai perkembangan fesyen tempatan ke peringkat global.

“Apatah lagi dengan teras Islam yang ditonjolkan dalam IFF boleh membuka ruang perniagaan yang luas bagi pereka fesyen khususnya pereka tempatan untuk meneroka pasaran industri fesyen dunia yang selama ini didominasi oleh rekaan moden dan berpaksikan barat," titah baginda kepada Utusan Malaysia mengenai acara fesyen yang juga bakal dibawa ke Arau, Perlis menjelang hujung tahun ini.


Paling relaks

Berbeza dengan penganjuran IFF sebelum ini, pentas peragaan festival fesyen berkenaan di pulau percutian Bali ini dianggap paling relaks dan berjaya menawan hati pencinta-pencinta fesyen.

Berlangsung di tepi pantai, acara ini masih tidak mengabaikan persembahan bertaraf lima bintang bersesuaian dengan hasrat menjadikan IFF salah satu daripada pentas peragaan popular dunia.

Buat kali pertama, Raja Rezza dan seluruh pasukan kerjanya memilih mengadakan IFF di luar dewan seperti kelazimannya sebelum ini.

“Oleh kerana lokasi penganjuran di pulau peranginan jadi tentulah lebih molek kalau pentas peragaan di adakan di luar ballroom dan di tepi pantai.

“Kami mahu penggemar fesyen menikmati satu pertunjukan yang bersifat santai dan relaks," kata Raja Rezza menjelaskan rasional penganjuran IFF berkonsep pentas terbuka.

IFF sebelum ini telah dibawa menjelajah ke Abu Dhabi, New York, Monte Carlo, London, Astana, Manila dan beberapa destinasi lain di Indonesia.

Sepanjang dianjurkan, IFF sudah membuka ruang kepada 250 pereks fesyen dan jenama yang menjangkau latar belakang yang berbeza tetapi disatukan atas nama fesyen Islam.

- SAHARUDIN MUSTHAFA

1 comment:

  1. kak zamzarina ni bukan fesyen islam, tak menutup aurat sepenuhnya..salah ni.

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...