SELALUNYA hidangan ketupat dan lemang dinikmati bersama rendang 
daging atau ayam namun kini, kepala lembu mula digemari sebagai juadah  
Hari Raya Aidilfitri. 
Ia kedengaran agak pelik tetapi itulah cerita seorang penjual daging  Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.
 Menurut pemilik Wahidannie Livestock (M) Sdn. Bhd., Abdul Wahid 
Ramlan, sebelum ini orang ramai gemar membeli gear box iaitu tulang 
lutut lembu untuk dimasak sup tetapi selera itu nampaknya beralih kepada
  kepala lembu yang dikatakan enak dimasak rendang, kari atau lemak.
Abdul Wahid  yang berumur 38 tahun telah lebih 20 tahun menguruskan perniagaan keluarganya menternak dan menjual lembu.
 “Sebenarnya, hampir kesemua bahagian lembu boleh dimakan termasuk kepala dan lemaknya.
“Kepala lembu itu akan dilapah terlebih dahulu dengan mengasingkan 
daging dan otak manakala tulangnya dipotong kecil-kecil. Daging kepala 
lembu lebih lembut teksturnya dan manis. 
“Bagi satu kepala, kira-kira 2 kilogram daging boleh didapati, 
bergantung pada saiz kepala lembu berkenaan,” katanya kepada Jurnal.
Kebanyakan pembeli kepala lembu Abdul Wahid berasal dari Perak, Negeri Sembilan dan  Selangor. “Sebaik sahaja lembu disembelih, kepala lembu itu sudah ada pembelinya. Harganya antara  RM80 hingga RM200,” ujarnya.
Bakar kulit
 Tutur Abdul Wahid, dia dapat menjual lebih 100  kepala lembu setiap 
kali menjelang Aidilfitri. Kebanyakan pelanggan meminta Abdul Wahid 
membuang kulit, gigi serta bahagian mulut  lembu itu  terlebih dahulu.
 “Ada juga  pelanggan yang membelinya terus tanpa perlu dibuang  bahagian tertentu. Kebanyakan mereka berasal dari benua Afrika.
 “Khabarnya, mereka akan terus membakar kepala lembu itu sebelum 
memakan semua isinya termasuk biji mata. Saya tidak tahu pula apa 
rasanya,” katanya.
 Bercerita mengenai bekalan, Abdul Wahid memberitahu, kebanyakan stok
 haiwan itu diperoleh daripada tiga buah ladang lembu  di Negeri 
Sembilan dan Selangor.
 “Kedua-dua  ladang itu mampu menampung permintaan  semasa perayaan 
kerana mereka memiliki bilangan ternakan matang yang melebihi 1,000 
ekor,” ujarnya sambil memberitahu,  permintaan menjelang Aidilfitri 
biasanya bertambah sekitar  35 peratus.
Secara perbandingan, sekiranya bekalan pada bulan biasa sekitar 300 
ekor lembu,  menjelang Aidilfitri jumlahnya meningkat kepada 400 ekor.
 “Daging lembu merupakan hidangan utama  rakyat negara ini khususnya kaum  Melayu,” katanya.
Dia menambah, ramai pelanggan yang membeli pada saat akhir 
terutamanya pada malam raya  menyebabkan dia  tidak menang tangan untuk 
melayan mereka.
 “Kadangkala  sampai pukul 3 pagi pun  masih ada pelanggan yang 
datang untuk membeli daging. Sebagai peniaga,  kami  harus memastikan 
stok sentiasa ada,” jelasnya.
Lemak
Seorang pekerja Wahidannie Livestock, Azman Mohammad Adman, 23, yang 
berasal dari Yangoon, Myanmar, berkata, dia telah tiga tahun beraya di 
negara ini. Menurutnya, daging lembu dimasak dengan cara yang agak 
berbeza di negaranya.
 “Di Myanmar, semua bahagian lembu termasuk lemak dan kulit akan dimasak bersama. Kebanyakan dimasak kari. 
 “Semasa Hari Raya Aidilfitri, ia akan dimakan bersama nasi sama  seperti hari biasa,” katanya.
 Rakannya, Saad Nurullah pula mengatakan rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dapat menikmati makanan lazat  setiap hari.
 “Saya sendiri berasa tenang dan hidup agak selesa di sini berbanding
 negara asal. Segala keperluan boleh diperoleh dengan mudah,” katanya.
sumber: Kosmo 
 

 
 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.