Translate in your language

KENALI ZAMZARINA

Zamzarina berpengalaman luas dalam mengacarakan rancangan bual bicara sejak lebih sedekad lalu beliau menyertai RTM. Mula menyertai bidang penyiaran di RTM pada tahun 2000. Beliau juga seorang wartawan penyiaran di Bilik Berita TV, RTM dan pernah menerbitkan rancangan pemberitaan dan program majalah tv. Kini beliau ditugaskan mengetuai meja Wanita di unit berita tv.


Berpengalaman membuat liputan khusus mengenai ekonomi, politik dan parlimen. Antara program tv terbitan RTM yang pernah beliau kendalikan sebagai pengacara dan perantara adalah Bisnes Malaysia, Selamat Pagi Malaysia, Galeri Perdana, Berita-berita utama dan acara-acara langsung peringkat kebangsaan.


Pencapaian tertinggi beliau di sepanjang bidang penyiaran ini adalah diberi peluang keemasan dan kepercayaan oleh pihak pengurusan tertinggi untuk menyediakan kertas konsep dan idea bagi penerbitan satu Rancangan bual-bicara untuk Wanita. Menamakannya 'APA KATA WANITA BERSAMA ZAMZARINA' , edisi pertama yang diterajui dan diterbit oleh beliau sendiri bermula pada 2 Januari 2009.

Selain sebagai 'anchor' Zamzarina juga merupakan penyelidik dan perunding kandungan dan terlibat sebagai penerbit bersekutu bagi program tersebut. Dalam program tersebut beliau telah berjaya membawa tokoh-tokoh Wanita ternama antaranya, Isteri Perdana Menteri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tun Dr Siti Hasmah, Usahawan berjaya Datuk Maznah Hamid, Budayawan negara Ibu Azah Aziz, Datuk Syarifah Aini, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sarimah Ahmad dan ramai lagi.

Sepanjang pengalaman di bidang penyiaran, beliau telah mengemudi beberapa rancangan bual bicara lain iaitu Bisnes Malaysia, Selamat Pagi Malaysia, Dari Parlimen dan menyampaikan berita-berita utama RTM.

Ibu kepada tiga anak yang berusia antara 15 dan 8 tahun ini sebenarnya berkelulusan perakaunan dan langsung tidak mempunyai latar belakang penyiaran. Lapan tahun pengalaman sebagai Akauntan di sektor korporat bagaimanapun menjadikan wanita tegas ini seorang yang berdisiplin tinggi dan sentiasa menjaga etika dalam tugasan.

Tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya tersebut, bagi Zamzarina bidang penyiaran adalah kerjaya yang paling memberi kepuasan diri dan kerjaya!

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..