IFF paling jelas untuk memberitahu seluruh 
dunia mengenai keindahan fesyen dalam konteks agama Islam. Saya mahu 
membantu mengelakkan salah faham setengah pihak bahawa Islam ada 
pertalian dengan keganasan.
Kerana itu IFF mengembara dari satu kota ke satu kota untuk 
menyatakan bahawa evolusi fesyen Islam sentiasa berlaku. Secara tidak 
langsung, ia akan mudah menarik perhatian bukan Islam untuk mendekati 
dan memahami dengan lebih jelas budaya umat Islam," kata Raja Rezza 
merumuskan penganjuran IFF 2012 yang baru-baru ini berlangsung di kota 
percutian popular, Bali.
Kehadiran IFF 2012 ke Bali jelas beliau, merupakan janji penganjur 
untuk meluaskan lagi pengaruh fesyen Islam di destinasi-destinasi 
liburan popular antarabangsa.
Ini kerana, kunjungan sedemikian akan membantu membuka pasaran fesyen Muslim di peringkat yang lebih luas.
Apa lagi kehadiran IFF kali ini ke Bali dianggap cukup istimewa 
kerana pentas peragaan itu turut berjaya menarik kehadiran pereka fesyen
 ternama, Milo Migliavacca iaitu salah seorang daripada pereka bukan 
Muslim yang tidak asing dalam industri fesyen Indonesia. 
Milo merupakan nama yang sangat gah di pentas fesyen Indonesia. 
Persetujuan beliau memperagakan fesyen berteraskan tema The Splendour of
 Bali disifatkan Raja Rezza sebagai satu kejayaan bagi IFF edisi ke-22.
Saya secara peribadi menganggap penglibatan Milo dalam IFF memberi sinar dan warna lebih ceria dalam gaya busana Muslimah.
Untuk seorang pereka berpengaruh seperti beliau menyokong penuh 
objektif IFF merupakan satu hal yang menarik kerana selama ini beliau 
bukannya menghasilkan busana Muslimah, tetapi di IFF Milo telah 
memberikan sentuhan yang luar biasa," ujar Raja Rezza lagi.
Rekaan dinamik
Sejak IFF diperkenalkan pada 2006, keindahan busana Muslimah 
memperlihatkan betapa fesyen berkenaan semakin diterima di peringkat 
antarabangsa.
Melalui penyertaan pereka-pereka fesyen ternama tempatan dan antarabangsa, evolusi fesyen Islam berlaku dengan pantas.
Tiada lagi identiti busana Muslimah yang stereotaip, sebaliknya, 
suntikan baru yang diberikan oleh pereka-pereka fesyen membuatkan rekaan
 Islam semakin dinamik dan segar tanpa mengenepikan tuntutan-tuntutan 
Islam.
Tentu sekali, pereka-pereka yang dijemput memberikan komitmen dalam 
IFF sudah diberi peringatan awal-awal bahawa mereka tidak boleh 
mengabaikan tuntutan syariat Islam.
Kerana itu, pada IFF edisi Bali baru-baru ini, kehadiran nama-nama 
besar dalam industri fesyen seperti Datuk Farah Khan dan Datuk Tom Abang
 Saufi dari Malaysia, Milo dan Paul Ropp (Indonesia) serta pakaian 
renang berteraskan Islam rekaan Nuraini Mohd. Ariffin dan Nor Aini 
Shariff telah memberikan justifikasi terhadap apa yang diharapkan oleh 
penganjur.
Bagi Farah Khan, penyertaan kali pertama beliau dalam IFF memberikan 
satu perspektif baru kepadanya mengenai keindahan fesyen Islam yang 
boleh diteroka dengan pesat lagi pada masa depan.
Pada saya, menghasilkan fesyen Islam merupakan satu cabaran kerana 
setiap pereka harus memelihara kesucian agama itu dalam segenap aspek.
Paling utama ialah bagaimana untuk memberikan sentuhan yang tidak 
terlalu menonjolkan tipikal Islam. Sebaliknya, perlu ada gabungan rekaan
 yang dinamik dan segar tetapi menepati kehendak syariat," ujar pereka 
ternama Malaysia itu.
Apa yang menariknya, IFF yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin 
Seri Rosmah Mansor juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada 
keluarga diraja Melayu terkenal di Malaysia, Raja Muda Perlis, Tuanku 
Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul 
Shahreen Akashah.
Pasangan diraja itu yang tidak pernah putus memberi sokongan pada IFF
 berpandangan, acara fesyen sedemikian boleh memberi perspektif baru 
kepada masyarakat Malaysia mengenai perkembangan fesyen tempatan ke 
peringkat global.
Apatah lagi dengan teras Islam yang ditonjolkan dalam IFF boleh 
membuka ruang perniagaan yang luas bagi pereka fesyen khususnya pereka 
tempatan untuk meneroka pasaran industri fesyen dunia yang selama ini 
didominasi oleh rekaan moden dan berpaksikan barat," titah baginda 
kepada Utusan Malaysia mengenai acara fesyen yang juga bakal dibawa ke 
Arau, Perlis menjelang hujung tahun ini.
Paling relaks
Berbeza dengan penganjuran IFF sebelum ini, pentas peragaan festival 
fesyen berkenaan di pulau percutian Bali ini dianggap paling relaks dan 
berjaya menawan hati pencinta-pencinta fesyen.
Berlangsung di tepi pantai, acara ini masih tidak mengabaikan 
persembahan bertaraf lima bintang bersesuaian dengan hasrat menjadikan 
IFF salah satu daripada pentas peragaan popular dunia.
Buat kali pertama, Raja Rezza dan seluruh pasukan kerjanya memilih 
mengadakan IFF di luar dewan seperti kelazimannya sebelum ini.
Oleh kerana lokasi penganjuran di pulau peranginan jadi tentulah 
lebih molek kalau pentas peragaan di adakan di luar ballroom dan di tepi
 pantai.
Kami mahu penggemar fesyen menikmati satu pertunjukan yang bersifat 
santai dan relaks," kata Raja Rezza menjelaskan rasional penganjuran IFF
 berkonsep pentas terbuka.
IFF sebelum ini telah dibawa menjelajah ke Abu Dhabi, New York, Monte
 Carlo, London, Astana, Manila dan beberapa destinasi lain di Indonesia.
Sepanjang dianjurkan, IFF sudah membuka ruang kepada 250 pereks 
fesyen dan jenama yang menjangkau latar belakang yang berbeza tetapi 
disatukan atas nama fesyen Islam.
 - SAHARUDIN MUSTHAFA
 

 
 
 
kak zamzarina ni bukan fesyen islam, tak menutup aurat sepenuhnya..salah ni.
ReplyDelete