Translate in your language

Thursday 18 October 2012

ANUGERAH IKON MENGANGKAT MARTABAT WANITA

Harmony Rakan Strategik Anugerah IKON
BAGI mengangkat martabat wanita sebagai tulang belakang pembangunan negara, majalah Wanita, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., buat kali ketiga akan menganjurkan Anugerah Wanita Ikon (AWI) 2011/2012.

Majlis berprestij tersebut diadakan bertujuan mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan wanita Malaysia yang telah mengukir kejayaan dalam bidang masing-masing. 

Majalah Wanita membuktikan komitmennya untuk memperkasa golongan wanita Malaysia ke tahap yang cemerlang bagi memacu kemajuan negara tercinta.

Bertuah ditemukan jodoh dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Wanita menyambut salam Mara untuk mengadakan kolaborasi strategik bagi merealisasikan Malam Gala Anugerah Wanita Ikon 2011/2012 kali ini.

Selama ini, Mara cukup akrab dengan peranan murninya membantu, mendidik dan membimbing usahawan untuk berjaya terutamanya golongan wanita.

"Kolaborasi strategik ini diharap akan membuka peluang kepada usahawan dan wanita Malaysia yang berpotensi serta berwawasan untuk mencapai impian mereka.

"Sebagai perintis majalah wanita yang pertama di Malaysia, maka majalah Wanita terpanggil meneruskan anugerah ini yang dirasakan amat bermakna buat kaum wanita Malaysia," kata Pengarang Wanita, Normala Hamzah.

Tambahnya, Wanita turut memaparkan kecemerlangan golongan ini dalam pelbagai bidang sebagai pengisiannya untuk dikongsi dengan pembaca dan masyarakat menerusi segmen Wanita Cemerlang, Personaliti, dan Usahawan Wanita.

"Sedikit sebanyak, mereka yang pernah tersiar ceritanya di dalam majalah Wanita telah memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya. Mereka secara automatik disenarai pendek untuk diketengahkan sebagai calon AWI 2011/2012.

"Pada masa yang sama, persatuan, pertubuhan wanita, individu, syarikat swasta, korporat serta syarikat yang merasakan mereka mempunyai calon yang berpotensi untuk diketengahkan boleh berbuat demikian dengan mengirim biodata dan profil calon berkenaan kepada kami untuk dipertimbangkan," ujarnya.

Suntik inspirasi
Selain berkongsi kisah kejayaan wanita-wanita dinamis untuk dijadikan teladan, ia juga diharap mampu menyuntik inspirasi kepada wanita lain yang ingin mencipta kejayaan baik di rumah mahupun dalam dunia kerjaya.

Anugerah Wanita Ikon pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 menyaksikan ahli perniagaan Syarikat Megah Padu merangkap usahawan produk kecantikan Kayla Beverly Hills, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon 2007. 

Bagi tahun berikutnya, Anugerah Wanita Ikon 2008 dirangkul oleh pemilik D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah. Kedua-dua pemenang Anugerah Wanita Ikon berkenaan turut aktif dalam kerja-kerja amal.

Selepas dua tahun diadakan, AWI turut menobatkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar sebagai Tokoh AWI 2007 seterusnya Tan Sri Rafidah Aziz sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita 2008. Pengiktirafan dibuat berdasarkan jasa dan sumbangan mereka terhadap kemajuan ekonomi negara dan pembangunan wanita.

"Tahun ini, penganjur memperkenalkan satu lagi kategori baharu iaitu Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 yang akan memilih seorang wanita muda yang unggul dalam bidang yang diceburi.
"Anugerah tersebut dipecahkan kepada empat kategori iaitu Sukan, Pendidikan, Sosial dan Bisnes sebagai menghargai golongan wanita muda yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara," jelas Normala.

Malam gala AWI 2011/2011 akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 30 November ini.

Seramai lima calon dipilih untuk diadili oleh panel juri, tetapi seorang sahaja yang akan dinobat sebagai Wanita Ikon 2011/2012. 

Mereka juga diwajibkan menyertai kerja amal yang ditentukan penganjur sebagai syarat penyertaan. Tarikh akhir penyertaan pencalonan ialah pada 15 Oktober 2012.

Selain Mara, Rakan Strategik/ Kerjasama yang telah mengesahkan penyertaan ialah Loreal, Alfio Raldo, D'Navechee, Harmony dan RTM (Apa Kata Wanita).

1 comment:

  1. WAH! KAK ZAM CALON ANUGERAH WANITA IKON?

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...