| 
Walaupun Ramadan belum berakhir, 
tetapi tidak salah kalau kita muhasabah ke hadapan. Maksudnya, kita 
gerakkan hati dan fikiran kita untuk melihat apa yang akan kita  ’dapat’
 atau
 siapa kita akan ‘jadi’ pasca Ramadan ini. Supaya dengan itu, kita 
belajar menghargai detik Ramadan yang masih berbaki. Jangan sampai bila 
ia berlalu, kita menepuk dahi… kesal kenapa kita tidak mendapat apa-apa 
atau diri masih di takuk lama. 
Bukankah Rasulullah SAW sendiri 
mengingatkan dalam sebuah hadisnya, betapa ada muslim yang berpuasa 
tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan tidak mendapat 
apa-apa daripada
 Qiamullailnya melainkan letih dan kepenatan berjaga malam semata-mata. 
Apakah hasil yang kita harapkan 
selepas berpuasa di bulan Ramadan? Apakah bentuk manusia yang kita akan 
jadi selepas keluar dari ‘kem latihan’ Ramadan ini? Ya, mari bermula 
dengan
 satu pengakiran – menjangka hasil akhir ketika memulakan. Supaya dengan
 ini, puasa yang berbaki beberapa hari sahaja lagi ini akan kita 
laksanakan penuh keikhlasan dan pengharapan. InsyaAllah agar segala dosa
 terampun, dan kita meningkat menjadi insan yang
 lebih baik berbanding bulan-bulan sebelumnya. 
Ingatlah, bahawa tujuan berpuasa 
adalah untuk melahirkan taqwa. Orang yang bertaqwa itu sangat 
berhati-hati menjaga hukum Allah. Dia juga akan mencegah dirinya 
daripada berbuat sesuatu
 yang diharamkan Allah. Begitulahlah erti taqwa – sentiasa  berhati-hati
 dan sentiasa mencegah diri daripada segala yang dimurkai Allah. Persis 
seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh 
Sayidina Umar tentang taqwa. Kata Ubai, “seperti
 seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri.” Maksudnya, sangat 
berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri! 
Dan sudah sewajarnya keluar sahaja 
daripada madrasah Ramadan, umat Islam sudah mencapai taqwa. Dia akan 
berhati-hati apabila hendak bercakap, belajar, makan, bertindak, 
berfikir
 dan bertindak agar sentiasa berada dalam keredaan Allah. Dia tidak 
sembarangan lagi berbuat sesuka hati melainkan terlebih dahulu merujuk 
kepada hukum Allah yang lima – halal, haram, sunat, makruh dan harus. 
Daripada persoalan sekecil-kecilnya, seperti masuk
 ke dalam tandas sehingga mengatur dan memimpin urusan negara. 
Taqwa itu berada di dalam diri. 
Rasulullah SAW menunjukkan ke dadanya, apabila memberi penjelasan 
tentang taqwa. Namun, yang di dalam hati itu akan memberi kesan kepada 
luaran, justeru
 hati itulah yang mengawal segala perlakuan. Walaupun taqwa itu nilai 
seseorang di sisi Allah, namun kesannya begitu besar kepada hubungannya 
sesama manusia. Manusia bertaqwa, akan berakhlak dengan manusia. 
Tegasnya, siapa yang paling akrab dengan Allah, seharusnya
 dia juga paling intim dengan manusia. Habluminallah dan habluminannas 
saling berkaitan. 
Seorang wanita yang rajin bangun 
malam (qiamullail) dan berpuasa sunat pada malam hari, masih menjadi 
ahli neraka kerana mulutnya sering menyakiti hati jirannya. Demikian, 
seperti
 yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Seorang lelaki yang ibadahnya 
‘biasa-biasa’ sahaja mengikut ukuran para Sahabat, sampai tiga kali 
diisytiharkan sebagai ahli syurga oleh Rasulullah SAW sendiri kerana 
tidak memiliki sifat hasad. Fikirkan, betapa taqwa itu
 pasti menjana pembentukan akhlak. 
Tidak hanya setakat itu, taqwa itu 
juga akan memberi kesan kepada pekerjaan atau peranan seseorang. Selain 
akhlak, buah taqwa itu adalah itqan. Apa itu itqan? Ia adalah satu sikap
 yang sangat iltizam (komited) dengan memperelokkan kerja. Orang 
bertaqwa akan membuat segala kerja yang dimanahkan kepadanya dengan 
itqan. Ia menjadi orang yang sangat efektif, efIisen dan berpegang 
kepada nilai etika yang tinggi dalam pekerjaannya. 
Allah suka kepada seseorang yang 
apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (Itqan). 
Itqan di dalam kerja dicapai apabila kerja itu dilakukan dengan ilmu dan
 kemahiran
 yang tinggi. Sistematik dan terancang, mengambil amanat daripada 
Sayidina Ali, “yang hak tetapi tidak tersusun akan dikalahkan oleh 
kebatilan yang tersusun.” Umat yang bertaqwa sentiasa melaksanakan kerja
 yang betul (berkesan)  dengan betul-betul (cekap). 
Jika taqwa itu darjat manusia di 
sisi Allah, akhlak itu nilai di sisi manusia, itqan pula ialah ukuran 
kecemerlangan dalam perkerjaan. Dengan taqwa dan akhlak, tercapai 
kesempurnaan
 tugasan sebagai hamba Allah. Manakala dengan itqan tercapai 
kesempurnaan peranan sebagai khalifah. Sebagai hamba Allah, kita menjadi
 manusia yang baik (soleh), sebagai khalifah kita mampu memberi kebaikan
 (musleh) kepada orang lain dan alam sekitar. Dengan
 akhlak, kita membina tamadun rohani. Dengan itqan kita membangun 
tamadun material . Ertinya, orang bertaqwa itu akan berjaya di dunia dan
 di akhirat. Umat yang bertaqwa bukan sahaja selamat, malah mampu 
menyelamatkan. 
Lalu, mariah kita bermuhasabah – 
dengan fikir yang lurus, dengan zikir yang tulus, apakah tujuan berpuasa
 sudah tercapai? Apakah taqwa yang menjadi ‘target’ sudah kesampaian? 
Untuk
 menjawabnya, mudah… lihat pada akhlak dan itqan. Apakah akhlak sudah 
terbina? Apakah kita sudah mampu melakukan perbuatan baik dengan mudah, 
secara spontan dan tanpa perlu difikir-fikirkan lagi (seperti takrifan 
akhlak oleh Imam Ghazali)? Jika kita jujur,
 jawapannya ialah belum! 
Lihat sahaja perbuatan jenayah, 
penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pelbagai keruntuhan akhlak. Akhlak 
umat Islam masih jauh daripada piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan 
RasulNya
 dalam Al Quran dan As Sunah. Kata mengata, fitnah memfitnah, umpat 
mengumpat, terus berleluasa melibatkan seluruh peringkat masyarakat, 
terpapar dalam media masa cetak dan eletronik. Mana nilai kita di sisi 
manusia? 
Di dalam pekerjaan, tahap kecekapan 
dan keberkesanan pekerja-pekerja Islam masih jauh ketinggalan. Bukan 
sahaja kita berdepan dengan masalah, ponteng, curi tulang, curi masa dan
 sebagainya tetapi tahap kemahiran dan ilmu masih tertinggal berbanding 
pekerja bukan Islam di negara-negara maju.  Bidang penyelidikan dan 
pembangunan kita masih jauh ketinggalan. Al hasil, kualiti dan 
produktiviti produk dan perkhidmatan negara-negara umat
 Islam masih belum mampu menandingi negara bukan Islam. 
Mana taqwa yang kita lahirkan 
menerusi madrasah Ramadan? Mengapa akhlak dan itqan kita masih di 
pinggiran? Tamadun rohani dan tamadun material kita masih rendah dan 
terkebawah. Puasa
 kita umpama pohon yang tidak berbuah. Menanam sudah selalu, tetapi 
pokoknya tidak berbuah. Jangankan untuk membangunkan umat yang mampu 
menyelamatkan… bahkan kita sendiri pun masih tidak selamat? Puaskah kita
 dengan puasa yang tidak membina taqwa ini? Ayuh
 fikirkan! 
Jika belum, mari kita bermula 
semula. Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan suatu yang baik. 
Pertama, jaga niat agar ikhlas berpuasa kerana Allah. Semata-mata kerana
 Allah,
 bukan kerana adat kebiasaan, bukan didorong semata-mata oleh fadilat 
atau mengharapkan hikmah di sebalik pengamalannya. Bulat tekad kita 
kerana Alah. Nafsu yang menjadi hijab antara kita dengan Allah selama 
ini kita henyak dengan lapar dan dahaga… kita tutup
 semua pancaindera daripada menyalurkan ‘tenaga’ kejahatan kepada nafsu.
 Mulut, telinga, hidung dan segala pancaindera kita kawal… jangan 
sekali-kali terlibat dengan dosa. 
Jadilah insan yang bisu, tuli, buta,
 lumpuh daripada bercakap, mendengar, mencium dan menghampiri maksiat. 
Mujahadahlah.. walaupun sukar kerana kesukaran itulah nilai puasa kita
 di sisi Allah. Cinta kita jangan diserahkan kepada yang lain, maksudnya
 seluruh pancaindera kita itu kita ‘serahkan’ hanya kepada Allah. Jika 
‘terbuat’ dosa secara tidak sengaja… segeralah beristighafar dan 
bertaubat. Bersihkan hati kita ketika berhubung dengan
 semua manusia agar suci hubungan kita dengan Allah! 
sumber: Insan Network | 
Translate in your language
Friday, 10 August 2012
MENJANGKAU PASCA RAMADAN...TAZKIRAH JUMAAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.