Translate in your language

Thursday 30 August 2012

[ DUNIA LELAKI ] PERKARA YANG ANDA PERLU LAKUKAN KETIKA BERTANDANG KE RUMAH SI DIA...


Syawal adalah waktu untuk merapatkan tali silaturahim. Bagi anda yang telah berpunya, inilah masanya untuk mengenal keluarga gadis pujaan anda terutama sekali bagi yang belum pernah bersua muka. Bagi yang telah saling mengenali ini waktunya untuk anda merapatkan hubungan.

Tapi sebelum anda beraya ke rumah bakal mentua anda itu ada baiknya anda memerhatikan beberapa perkara. Jangan nanti tujuan kedatangan untuk berkenalan akhirnya keluarga si dia langsung tak berkenan. 

1. Jaga Penampilan
Fikirkan pakaian yang sesuai untuk dipakai pada hari kunjungan. Di bulan Syawal ini tak salah juga jika anda tampil dengan baju Melayu. Tapi tak perlu berlebihan siap bersamping dan bersongkok kecuali ia sesuai dengan majlis. Bimbang dikata ‘over’ pula. 

Pastikan pakaian anda kemas dan sedap mata memandang. Jangan sesekali memakai baju T tertera tulisan yang tidak elok. Paling tidak anda berkemeja lengan pendek. Kemaskan juga wajah anda, pastikan jambang dan misai rapi agar tidak nampak selekeh. Boleh jadi penampilan menjadi bonus untuk anda memenangi hati keluarga si dia. 

2. Bawa Teman
Sememangnya anda akan dilihat lebih ‘macho’ jika pergi sendirian bertemu keluarga teman wanita anda. Tapi selalunya ramai yang tidak sanggup pergi bersendirian. Jika begitu bawalah teman agar hilang rasa segan. Teman pula seorang dua sudah memadai, jangan pula sampai dua kereta bimbang keluarganya tidak kenal mana satu bakal menantu mereka. 

3. Jaga Adab
Penampilan pertama memainkan peranan besar yang boleh menguntungkan atau merugikan anda. Oleh itu apabila sampai ke rumah gadis pujaan itu, jagalah adab anda. Bersalamanlah dengan kedua-dua ibu bapa dan juga ahli keluarga yang anda. 

Tanyakan juga khabar mereka walau sudah ada depan mata. Ini menunjukkan tanda hormat anda pada mereka. Hati mereka pasti berbunga jika bermenantukan anda yang mempunyai budi pekerti dan sopan santun yang tinggi.

4. Ramah
Satu cara memenangi hati bakal mentua adalah dengan sikap ramah. Jadi belajarlah untuk bersikap demikian. Anda boleh saja memulakan perbualan dengan bertanya tentang kesihatan ibu bapanya, kerjaya adik-beradik, walaupun hakikatnya anda sudah pun mengetahuinya daripada teman wanita anda. 

Berikan juga penerangan tentang ahli keluarga anda dengan sebaiknya. Tapi jangan berbual kosong kerana ia kadang-kadang membuat anda ‘merapu’ dan jangan terlalu ‘excited’ semasa berbual kerana kadang-kadang kita boleh tersilap cakap hingga boleh mengeruhkan perhubungan! 

5. Berikan Senyuman
Meskipun anda seorang yang pendiam dan tak ramah berbicara tapi pastikan anda melemparkan senyuman buat keluarga si dia yang menyambut kedatangan anda. Jangan tunjukkan wajah yang masam sekali pun anda tersesat sejam ketika mencari rumahnya. 

Selain itu senyuman juga boleh melindungi rasa gemuruh atau panik bersemuka dengan keluarganya. Lagi pun anda sudah tentu tidak mahu dikata sombong pada pertemuan pertama. Tapi awas, jangan asyik tersenyum nanti dikata macam kerang busuk pula.

6. Kenali Ahli Keluarga
Walaupun yang pentingnya adalah kedua-dua ibu bapa si dia tapi ahli keluarganya yang lain juga perlu diambil kira. Jadi bersikap ramahlah dengan adik-beradik atau saudara yang ada. Cuba ingati nama mereka supaya mereka rasa dihargai. Tunjukkan bahawa anda benar-benar berminat untuk mengenali mereka. Jika mereka dapat melihat keikhlasan hati anda, pasti anda mendapat lampu hijau untuk masuk ke dalam keluarga si dia.

7. Sediakan Buah Tangan
Perkara ini selalu dilupakan oleh golongan lelaki. Adab berziarah harus ada buah tangan. Ia sebagai tanda menghormati rumah yang dikunjungi. Ringankan tangan anda membawa sedikit buah tangan agar keluarga si dia berbesar hati menerima kedatangan anda. Bukan membeli barangan mahal pun, sekadar kuih muih atau makanan kegemaran ibu dan ayah si dia sudah memadai untuk anda diingati. 

sumber: Mingguan Wanita

1 comment:

  1. Bila baca rasa muda kembali.
    Teringat masa muda-muda dulu.

    Info yang menarik.
    Terima kasih

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...