Translate in your language

Thursday 28 June 2012

PROGRAM PERMATA TIDAK WAJAR DIPOLITIKKAN



PROGRAM Permata Negara hasil ilham dan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ternyata melangkaui batasan politik, bangsa dan agama sebaliknya fokus utamanya adalah mendidik kanak-kanak bawah lima tahun menjadi insan cergas minda, membesar secara holistik, kreatif lagi berkeyakinan diri.

Rakyat terutamanya ibu bapa perlu diberi pendedahan mengenai objektif program itu yang mula dilaksanakan sejak 1 Mac 2007 dengan menawarkan khidmat asuhan dan didikan awal kanak-kanak dan keutamaan diberi kepada ibu bapa yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan.

Antara syarat-syarat pemilihan Anak PERMATA Negara bagi kawasan luar bandar ialah jumlah pendapatan isi rumah (suami- isteri) tidak melebihi RM1,500 sebulan manakala untuk kawasan pinggir bandar dan dalam bandar pula, pendapatan isu rumah mestilah tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Sebagai contoh, bagi Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Putrajaya dan Presint 16, keutamaan diberikan kepada pemohon-pemohon yang terdiri daripada kakitangan sokongan 3 seperti pemandu,    pembantu am rendah, pengawal keselamatan dan pasangan yang tidak bekerja.

Keutamaan turut diberikan kepada ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) serta pemohon yang mempunyai masalah keluarga seperti penceraian dan digantung tidak bertali.

Program Permata Negara ini diibaratkan seperti mencorak dan mewarnai sehelai kain putih dengan nilai-nilai murni yang dapat membentuk jati diri generasi muda Malaysia.

Setiap anak umpama permata yang perlu digilap kilauannya hasil pendedahan konsep asuhan dan didikan istimewa dengan penerapan konsep belajar menyeronokkan menerusi bermain yang diadaptasi dari pusat kecemerlangan kanak-kanak Pen Green di Corby, England.

Idea tercetus selepas Rosmah melihat peningkatan kes jenayah dan masalah sosial dalam negara yang dipercayai berpunca daripada corak didikan semasa kanak-kanak.

Untuk merealisasikan idea berwawasan itu, sekumpulan individu profesional termasuk pakar kanak-kanak, ahli akademik, aktivis wanita dan aktivis masyarakat berganding bahu melaksanakan pelbagai kajian dan penyelidikan bagi merangka program Permata Negara.

Sehingga 31 Disember 2011, terdapat 627 PAPN/Taska Permata di seluruh Malaysia yang beroperasi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar bagi menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.

Program ini bukan sahaja dikendalikan oleh PAPN tetapi juga dengan kerjasama agensi pelaksana seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terengganu mendahului senarai negeri yang memiliki bilangan PAPN/Taska Permata tertinggi dengan jumlah 89 buah, diikuti Sarawak (65); Johor (53); Perak (50); Selangor (48); Kedah (47); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (41); Pahang (37); Sabah (35); Melaka (34); Kelantan (32); Negeri Sembilan (31); Wilayah Persekutuan Putrajaya (22); Pulau Pinang (21); Perlis (19) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3).

Ternyata, program Permata Negara ini tidak terkecuali diperluaskan ke negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Ini jelas membuktikan bahawa program yang diperkenalkan kerajaan ini sama sekali tidak mempunyai agenda politik tertentu sebaliknya ia demi masa depan kanak-kanak itu yang masih muda dan perlu dibentuk dengan nilai-nilai mulia.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Permata Negara, DPS Rosmah menaruh keyakinan penuh program itu dapat membuka ruang yang luas kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu mendidik kanak-kanak menjadi insan cemerlang di masa depan.

Penerangan objektif program secara berterusan perlu dilaksanakan kerana usaha membuka PAPN di semua negeri sering kali terjejas disebabkan keengganan negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang untuk menyediakan tapak.

Walaupun DSP Rosmah berhasrat mewujudkan lebih banyak seumpama itu, kekangan memperolehi tapak yang sesuai khususnya di negeri dikuasai pembangkang tidak dapat dielakkan.
Selain itu, semua taska kelolaan kerajaan akan dinaik taraf sebagai Pusat Permata secara berperingkat dalam usaha memberi program pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti termasuklah pengubahsuaian fizikal taska.

Menyedari pentingnya peranan ibu bapa, program Permata juga telah meletakkan peranan ibu bapa sebagai salah satu teras utama di dalam kokurikulumnya apabila setiap pasangan diwajibkan melibatkan diri sekurang-kurangnya empat jam sebulan dalam Program Permata.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai Program Permata Negara juga menarik minat isteri pemimpin negara asing termasuklah Permaisuri Qatar, Sheikha Mozah Nasser Al-Missned untuk menjalin kerjasama dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pendekatan serta pengendalian program itu.

Kajian UPSI dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC) turut mendapati 84 peratus kanak-kanak di Permata Negara mencapai perkembangan emosi yang baik selain membentuk personaliti yang tenang, ceria dan berkeyakinan diri.

Rumusan kajian juga menunjukkan mereka ini lebih istimewa berbanding kanak-kanak bukan Permata dengan lebih 80 peratus daripadanya mencapai kemahiran pra-sains, boleh menggunakan ayat dengan penuh dan betul, pandai mengurus diri sendiri dan bersifat mesra dan mudah mengikuti arahan.

Menyedari peri pentingnya pembangunan modal insan berkualiti, kerajaan juga mengiktiraf program itu apabila menyalurkan peruntukan RM100 juta dalam Bajet 2010.

Bajet itu digunakan bagi menjayakan program berikut:

*Permata Negara yang melibatkan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mencapai umur 5 tahun. Satu garis panduan akan disediakan untuk menyelaras kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak,

*Permata Seni melibatkan latihan pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang seni. Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,

*Permata Pintar bertujuan membimbing pelajar yang mempunyai tahap kepintaran yang luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang, yang akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika Syarikat,

*Permata Insan bertujuan melatih pelajar supaya memahami, mendalami dan mengaplikasi ilmu yang berteraskan al-Quran, dan dikendalikan Universiti Sains Islam Malaysia bagi pelajar yang berumur 9 hingga 12 tahun,

*Perkasa Remaja, yang dikendalikan UKM, bertujuan melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelak mereka terlibat dalam gejala sosial serta dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Justeru, peruntukan RM100 juta akan membolehkan program Permata Negara menubuhkan lebih banyak pusat asuhan kanak-kanak dan penjagaan harian Permata Negara di jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Ia juga satu pengiktirafan terhadap kepentingan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak di peringkat awal di Malaysia yang dipelopori oleh DSP Rosmah.

sumber: Perak Today

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...