Translate in your language

Monday, 28 May 2012

Kemelut 'Orang Ketiga' Dalam Rumah Tangga


Alam rumah tangga tidak pernah sunyi daripada pertelingkahan tetapi awas! Jangan sampai berlarutan hingga mengundang orang ketiga. Orang ketiga? Seharusnya mereka dinyahkan jauh daripada lipatan hidup suami mahupun isteri. Jika dahulu, curang sering dituding kepada suami, tetapi sekarang isteri pun sudah berani main kayu tiga. Baru sedikit diduga, sudah berminat mencari ‘yang baru’. Sebelum melakukannya, timbang-timbanglah dengan baik agar rumah tangga kekal bahagia selama-lamanya.

Rumah tangga penuh pengembaraan
Ketahuilah bahawa kehidupan rumah tangga bagaikan satu pengembaraan yang penuh dengan cabaran. Kiri kanan penuh onak ranjau yang menyakitkan. Sama ada ke hutan mahupun lautan, semuanya perlu diredah bersama. Dari itu, semakin jauh berjalan atau semakin dalam kalian di dasar maka semakin banyaklah pengalaman yang akan ditemui. Biarpun bertemu ‘kepahitan’ di awalnya tetapi yakinlah kemanisan yang diimpikan pasti ada. Banyakkan bersabar dan bertolak ansur supaya kebahagiaan yang dilakar berkekalan sampai bila-bila.

Gunakan teknik ranjang
Jika dilihat, perkahwinan orang-orang lama kebanyakannya bertahan hingga ke hujung nyawa. Pasti ramai yang tertanyatanya bagaimana mereka dapat kekalkan keharmonian itu. Rahsianya mudah sahaja. Gunakan ranjang sebagai penyelesaian setiap konflik yang berlaku. Tidak dinafikan ada hati yang terluka sebaik mengetahui pasangan bermain kayu tiga, tetapi cuba ‘pulangkan’ kemarahan tersebut dengan memberi satu `pertarungan’ menarik di ranjang. Jadikan diri anda yang paling hebat dan takluklah hatinya daripada dimiliki orang lain.

Usah cepat melatah
Kata orang bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kerana itu apabila mengetahui pasangan berlaku curang, usah segera menyalahkan pihak ketiga. Bersabar dan jangan cepat melatah. Fikirkan jalan terbaik untuk selesaikan dan bukannya menambah masalah. Cari masa yang sesuai untuk berbincang dengan pasangan yang membuat ‘onar’. Seboleh-bolehnya mulakan dengan pujian dan urutan yang melegakan. Jangan sekali-sekali paksa sekiranya dia tidak mengaku kerana itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Berilah layanan yang diinginkan
Fitrah lelaki yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja seperti bayi. Jika mereka yang menimbulkan masalah, maka gunakan senjata tersebut untuk memenangi hatinya semula. Biarpun ada sedikit perasaan terkilan di hati, tetapi cubalah lupakan seketika demi menyelamatkan rumah tangga. Mungkin apa yang anda berikan selama ini bukan seperti yang diinginkan. Cerminlah diri dan betulkan kesilapan. Selepas itu mulakan hari esok dengan episod kehidupan yang baru.

Fokus pada rumah tangga
Kehadiran orang ketiga banyak dikaitkan dengan masalah komitmen dalam perhubungan. Sama ada isteri mahupun suami, kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan diri sendiri daripada pasangan yang sentiasa dambakan perhatian. Kekurangan komitmen membuatkan pasangan merasa diri tidak diperlukan lantas mencari ‘sumber’ untuk meluahkan perasaan. Dari situlah timbulnya bibit-bibit perkenalan yang melarat ke hubungan percintaan. Menyedari hal yang terjadi maka fokuslah pada perkahwinan. Kerja memang perlu tetapi jangan keterlaluan kerana harta dan kekayaan tidak pernah cukup apabila dicari.

Timbang dan betulkan kesilapan diri
Pasangan jarang memberitahu atau mengaku mengenai hubungan sulitnya. Jadi berkemungkinan anda mengetahuinya mengenai maklumat yang disampaikan atau melihat dengan mata kepala sendiri secara kebetulan atau intipan. Selepas melihat kelebihan ‘pesaing’ maka cubalah sedaya upaya untuk tandingi kemampuannya. Tidak mustahil ada yang mengambil jalan singkat melalui cara yang khurafat, tetapi dalam masalah ini andalah penawar yang mampu memulihkan semula keadaan. Berhias dan layanlah pasangan sebaiknya. Jangan sekali-sekali bertanya apa kurangnya anda berbanding ‘teman istimewanya’ kerana itu hanya akan melukakan hati dan melunturkan semangat untuk memulihkan keadaan.


ZZ - ....the one and only 

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...