Translate in your language

Sunday, 27 May 2012

Jatuh cinta 'SMS menyamar' daripada isteri sendiri

ZZ terkesima sekejap bila baca story hari ini di Utusan Online. Tak boleh bayangkan kalau perkara ini berlaku kepada diri sendiri. Ini kes suami kantoi la ni. Tapi tak dapat dinafikan ramai suami yang bersikap seperti ini. Alhamdulillah walaupun suami ZZ sering bertugas ke luar kawasan termasuk luar negara, beliau tidak lupa untuk menghubungi ZZ setiap masa. Mungkin ramai yang dah baca story ini tapi ZZ nak ajak anda semua beri pandangan apakah faktor si suami hilang rasa rindu pada isteri dan anak-anak tetapi dahagakan kasih sayang dari luar. Jom sama-sama kita baca kisah ini sebagai tauladan...    


BANYAK cara seorang isteri boleh menguji kesetiaan suami. Ada suami yang susah menghubungi isteri apabila berada di luar daerah kerana bertugas. Bayangkan jika berlaku masalah di rumah, kematian dan sebagainya, bagaimana khabar hendak disampaikan kepada mereka.

Berlainan pula dengan isteri yang selalu menelefon dan bertanya khabar sehingga suami ada kala rimas dan bosan. Tapi isteri tidak pernah kecewa walaupun tahu suami tidak suka. Kepada saya, Suzana (bukan nama sebenar) bercerita tentang bagaimana dia menyamar menggunakan nombor telefon lain untuk menguji suaminya yang berada di luar daerah selama sebulan kerana bertugas.

Apa kesudahan penyamaran Suzana, ikuti kisah seterusnya. "Saya berusia awal 30-an, mempunyai dua orang anak berusia 7 dan 8 tahun. Suami, Shahrul (bukan nama sebenar) seorang penjawat awam yang terlibat dengan banyak program di luar daerah. Ertinya dia selalu tidak ada di rumah.

"Saya selalu tinggal bersama anak dan pembantu rumah, dalam sebulan hanya tiga hari kami dapat bersama. Hujung minggu memang jarang saya dan suami bersama anak-anak tetapi saya tetap melayan mereka seperti biasa walaupun bapa mereka tidak ada.

"Suami seorang yang susah untuk menelefon bertanya khabar dan menjawab panggilan. Saya juga pelik kenapa dia jadi begitu. Alasannya banyak kerja, tidak ada masa. Sudahlah tidak menelefon, menjawab telefon pun susah.

"Kalau pun tidak ada masa, apa salahnya telefon anak-anak tanya khabar dan berbual seketika dengan mereka, tentu anak-anak gembira. "Apabila nasihat saya tidak berjalan saya dapat satu idea. Saya menyamar untuk menduga hatinya. Lalu saya beli satu nombor pra bayar baru yang mana nombornya suami tidak tahu.

"Setiap hari saya mesej bertanya khabar, sudah makan ke, sihat ke dan macam-macam lagi soalan berbau cinta. Hari pertama dia agak ragu-ragu, tetapi dibalasnya juga. "Dia membalas mesej saya dengan soalan, mana dapat tahu nombornya kata saya kami pernah berkawan dulu tetapi putus di tengah jalan. Syoknya dia percaya pula!

"Lama juga saya menyamar hampir tiga minggu, sehingga dia jatuh cinta dengan kata-kata saya. Saya tidak berani telefon sebab bimbang dia cam suara saya. "Apa yang saya pelik, dia langsung tidak segan silu untuk melahirkan rasa rindu dan cinta kepada saya apabila saya mesej dan menelefon dia. Saya merasakan seperti kami mula bercinta dulu.

"Sakit juga hati saya bila fikirkan perangai dia. Pada masa yang sama saya cuba juga telefon guna nombor telefon biasa, macam biasa, dia tidak jawab dan respons. Saya mula syak yang suami ada hubungan dengan wanita lain.

"Tapi saya tidak mahu serkap jarang kerana mahu cari bukti dulu. Saya layan mesej sehingga dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan saya. Akhirnya apa yang saya takut berlaku, dia mahu dengar suara saya dan minta saya telefon dia. Saya gelabah tetapi memberi cadangan agar kami berjumpa.

"Selesai kursus suami balik ke rumah. Dia kelihatan selamba sahaja dan gembira. Dalam mesej terakhir saya berjanji akan berjumpa dia di sebuah restoran ternama di pinggir bandar. "Dia setuju sebab di situ kami selalu dating masa mula-mula bercinta dulu. Saya takut juga hendak pergi, tetapi saya kuatkan semangat. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

"Akhirnya hari yang dinanti pun tiba. Saya melaram sakan untuk menduga hati suami. Apa yang akan jadi saya serahkan kepada Allah. Ini semua untuk kebaikan fikir saya. "Tiba di tempat pertemuan, saya mencari suami. Dia memilih sudut yang agak terpencil jauh dari tetamu lain. Saya terus berjalan ke meja yang ditempah berpandukan mesej yang diterima.

"Sebaik melihat saya suami terkejut. Terpinga-pinga dibuatnya dia. Wajahnya pucat melihat kehadiran saya tetapi saya buat selamba ala-ala primadona filem Melayu zaman dulu. "Saya terus mencium tangannya dan duduk. Saya lemparkan senyuman kepadanya dan bertanya apa khabar. Dia nampak marah. Matanya ligat mencari wanita yang ingin ditemui, dia sangat gelisah.

"Melihat situasi itu, saya ingin segera tamatkan lakonan. Saya beritahu dia yang perempuan yang ditunggu itu tidak akan datang. Saya minta maaf sebab menipu dia. Saya bagi tahu dia, kalau dia marah dan ingin bertindak terhadap saya, silakan, saya tidak kisah.

"Lalu saya ceritakan dari A - Z kepadanya. Saya menangis sepanjang bercerita. Mungkin sedih dan bersalah kerana menipu dia tetapi saya berniat baik. Suami terdiam tanpa kata. Ada penyesalan di wajahnya walaupun di peringkat awal dia amat marah dengan perbuatan saya.

"Katanya saya telah menjatuhkan maruahnya sebagai suami tetapi saya betulkan keadaan dengan berkata tindakan saya semata-mata untuk kebaikan kami sekeluarga terutama anak-anak."Lama juga kami bertengkar dan berbincang. Saya luahkan apa yang terbuku di hati. Lalu saya tunjukkan nombor telefon yang saya gunakan untuk menggoda dia.

"Saya katakan kepada dia, kenapa tidak boleh layan saya sebagai isteri seperti mana dia melayan saya semasa menyamar menjadi teman wanitanya. "Saya tunjukkan kata-kata manisnya dalam mesej tersebut bagaimana dia rindu dan teringatkan saya selalu. Saya hanya perlukan itu sahaja, kata-kata dan ingatan, bukan kemewahan.

"Selain itu, anak-anak juga perlukan kasih sayang ibu bapa. Saya bagi tahu dia selama ini anak-anak tertanya-tanya, ke mana bapa mereka pergi setiap minggu sehinggakan tidak ada masa untuk membawa mereka berjalan-jalan.

"Mungkin Allah merestui perbuatan saya, akhirnya suami sedar dan meminta maaf atas perbuatannya itu. Dia sama sekali tidak menduga saya berani hingga ke tahap tersebut dan mohon maaf kerana mengabaikan saya dan anak-anak. Tentang hubungan dengan wanita lain, dia mengaku tidak pernah berbuat demikian kecuali melayan mesej, itu pun bukan selalu.

"Saya juga minta maaf kerana menipu dia dan berjanji akan mengubah sikap saya. Tidak saya sangka pertemuan itu mengembalikan nostalgia saya dengan dia macam kami bercinta dulu. "Itulah manisnya apabila kita selalu mengingatkan pertemuan pertama setiap kali menghadapi masalah rumah tangga. Bagi saya apa yang saya buat adalah satu percubaan yang baik.

"Sekurang-kurangnya saya menggunakan akal untuk mengembalikan kesejahteraan dan kasih sayang keluarga saya. Saya bersyukur kerana Allah merestui tindakan saya dan mengembalikan kebahagiaan kami yang hampir hilang. "Saya juga bersyukur kerana selepas kejadian itu, suami berubah 100 peratus. Dia kini menjadi seorang suami dan bapa yang baik, penyayang dan bertanggungjawab serta meletakkan keluarga di tempat utama selepas kerjayanya.

"Semoga kebahagiaan ini berkekalan. Kepada para isteri, pesanan saya, kita harus berani untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dengan cara sendiri menggunakan akal. Jangan ikut nafsu dan emosi, tetapi bertindak bijak menanganinya agar hubungan kasih sayang tidak putus. Semoga apa yang saya lalui akan menjadi pedoman buat orang lain,'' demikian pinta Suzana mengakhiri kisahnya.

Saya angkat tabik kepada Suzana atas tindakannya yang bijaksana. Suzana telah melakukan tugas yang baik untuk menyelamatkan rumah tangganya sekali gus menguji kesetiaan suami terhadapnya.
Inilah yang harus dilakukan oleh para isteri jika mahu rumah tangga mereka berkekalan hingga ke pintu syurga. Syabas Suzana.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya sentiasa menilai diri mencari kelemahan dan kekurangan agar ia boleh dibaiki dalam mencari keharmonian dan kedamaian hidup berkeluarga.

sumber: Utusan Online

Griptite - mampu mengikat suami

ZZ - sentiasa berBBM dan video call dengan suami..   

1 comment:

  1. jenis yg selak mmg jadi macam tu

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...