Translate in your language

Tuesday, 4 December 2012

Leila - Wanita Serikandi Palestine


Serikandi Palestin, Leila Khaled yang berjuang di bawah Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP) ini dilahirkan pada 9 April 1944 di Haifa.

Bagaimanapun, pada 13 April 1948 Leila bersama keluarganya terpaksa berpindah ke Lubnan selepas meletusnya Perang Arab Israel pada tahun itu, yang menandakan permulaan al-Nakba (malapetaka) yang menyaksikan ratusan ribu penduduk Palestin diusir keluar dari kawasan diduduki Israel.

Ketika berusia 15 tahun, Leila mengikut jejak langkah abangnya dengan menyertai Gerakan Nasionalis Arab diasaskan oleh George Habash pada akhir 1940-an.

Cawangan gerakan itu di Palestin menjadi PFLP selepas tercetus Perang Enam Hari 1967 yang menyebabkan Semenanjung Sinai, Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Gaza ditawan Israel.

Leila mendapat pendidikan di Universiti Amerika di Beirut (AUB) pada 1962 hingga 1963 dan terpaksa menamatkan pengajiannya lebih awal berikutan masalah kewangan.

Selepas berhenti belajar, Leila menjadi guru di Kuwait selama beberapa tahun. Pada 1968, Leila berhubung dengan anggota PFLP di Kuwait dan setahun selepas itu beliau diterima untuk menjalani latihan ketenteraan Skuad Operasi Khas.

Beliau meninggalkan Kuwait dan berpindah ke Amman, Jordan untuk meneruskan kegiatannya menentang Israel. Di sana, Leila berkahwin dengan pakar perubatan, Dr Fayez Rashid Hilal dan dikurniakan dua cahaya mata, Bader dan Bashar.
Pada 29 Ogos 1969, Leila yang berusia 25 tahun ketika itu bersama rakan seperjuangannya bertindak merampas pesawat TWA 840 yang sedang menuju ke Athens dari Rom.

Difahamkan, tujuan Leila melakukan rampasan pesawat itu kerana beliau mahu melawat tempat kelahirannya di Haifa.

Walaupun semua penumpang dibebaskan dengan selamat, pesawat itu tetap diletupkan sejurus insiden menggemparkan tersebut berakhir.

Selepas kejadian yang mendapat liputan meluas media dan gambar memaparkan aksi beliau memegang senapang AK-47 serta sebahagian rambutnya dilitupi keffiyeh, Leila mengambil keputusan untuk melakukan enam pembedahan plastik pada bahagian hidung dan dagunya di Lubnan bagi menyembunyikan identitinya.

Pada 6 September 1970, Leila yang sebelum ini menjadi wanita pertama di dunia merampas pesawat sekali lagi melakukan tindakan berani tersebut bersama seorang rakannya warga Nicaragua, Patrick Arguello.




Bagaimanapun, rancangan untuk merampas pesawat penerbangan Israel tersebut gagal selepas Arguello terbunuh.

Pesawat itu diarah mendarat cemas di lapangan terbang Heathrow di London. Leila ditahan di balai polis Ealing dan dibebaskan oleh kerajaan Britain mengikut perjanjian pertukaran tahanan pada 1 Oktober 1970.

Wanita itu berulang kali menegaskan tujuan rampasan pesawat itu adalah untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa berhubung penindasan ke atas penduduk Palestin.
Pada pertengahan 1980-an, Leila bekerja dengan Jawatankuasa Wanita Palestin di Damsyik yang bergabung dengan PFLP selepas ia ditubuhkan pada masa itu. Beliau turut menjadi ahli Majlis Kebangsaan Palestin dan pemimpin tertinggi dalam Kesatuan Wanita Palestin.

Leila berkongsi pengalaman mencabarnya menerusi buku autobiografi, My People Shall Live pada 1973. Buku tersebut turut memaparkan pendapat dan pemahaman beliau mengikut ideoloideologi nasionalis dan feminis berhubung konflik Israel-Palestin.

Selain itu, hasil sesi temu bual oleh penerbit Intifada Elektronik bersama Leila pada 2008 berjaya menghasilkan sebuah buku biografi Leila Khaled: Icon of Palestinian Liberation (Leila Khaled : Ikon Pembebasan Palestin) yang mula dipasarkan pada tahun ini.

Buku biografi hasil tulisan Sarah Irving itu menceritakan kisah hidup Leila pada zaman kanak-kanaknya di Haifa dan Lubnan, pengalaman sebagai pelarian termasuk isu berkaitan wanita.
Pembikin filem Palestin, Lina Makboul juga menghasilkan dokumentari berjudul Leila Khaled: Hijacker (Leila Khaled: Perampas Pesawat) yang ditayangkan di Festival Filem Dokumentari Antarabangsa di Amsterdam pada November 2005 dan berjaya merangkul beberapa anugerah.

Selain itu, artis Palestin, Amer Shomali turut menjadikan Leila sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan potret The Icon menggunakan 3,500 gincu bibir dengan 14 warna berbeza dipamerkan di Framed-Unframed: the Changing Representation of Women in Palestinian Visual Arts, iaitu sebuah pameran khas untuk golongan wanita yang menjadi ikon di Palestin selepas 1967.

Walaupun tindakan berani Leila dilabel perbuatan ganas oleh kebanyakan negara Barat, beliau tetap dianggap sebagai ikon politik oleh negara di rantau Arab.

Kerasnya hati wanita ini digambarkan melalui barang kemasnya yang dibuat sendiri. Katanya, "Cincinku diperbuat daripada peluru dan pin bom tangan!" 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...