Translate in your language

Thursday, 6 September 2012

KENAPA YANA DILARANG BERGAUL..INI KISAHNYA...


Di sebalik larangan bergaul

PETANG itu ruang tamu dipenuhi dengan limpahan sahabat handai yang berkunjung ke rumah dalam acara yang dinamakan rumah terbuka.

Sebagaimana keraian setiap tahun, ketibaan Syawal di kota raya diserikan rumah terbuka untuk mendekatkan ikatan ukhwah di kalangan jiran, rakan tetangga, saudara mara dan ahli keluarga.

Selesai kunjungan sahabat handai yang hadir dan pergi, tiba-tiba mata saya tertumpu kepada sesusuk tubuh yang tidak pernah akan hadir, biar bagaimanapun kami menjemputnya untuk ke majlis yang diadakan oleh jiran tetangga.

Kalau tidak pun dia hanya akan menghantar wakil seperti anak-anak ke rumah untuk menghadiri jemputan.

Antara alasan yang sering dinyatakan atas ketidakhadiran Yana (bukan nama sebenar) ialah suaminya bekerja.

Biar apa pun alasan yang diberi, semua jiran-jiran memahaminya kerana selama ini dia tidak akan keluar dari rumah atas alasan apa pun kecuali diiringi suaminya untuk ke kedai dan pasar raya terdekat.

Apabila membeli sayur dari tauke Cina yang berkunjung ke rumahnya setiap pagi pula, dia akan cepat-cepat menutup pintu setelah urusan pembelian selesai.

''Yana," jeritku yang ternyata gembira dengan kehadirannya kerana sudah lama tidak bersua muka biarpun dalam kehidupan kelompok berjiran.

Sambutan salam digenggam erat dan kami bertukar senyuman sebentar sebelum saya mempelawanya menjamah hidangan di atas meja.

Yana sempat mengambil beberapa ketul kuih sebelum menarik tangan saya ke satu sudut yang tidak berapa ramai tetamu. Di situ dia bercerita mengenai kehidupannya yang agak mengejutkan saya.

Kata Yana selama ini dia merasakan ketaatan kepada suami hanya satu perbuatan yang sia-sia apabila 'kebodohannya' itu dibalas dengan kecurangan suaminya yang berfoya-foya dengan perempuan lain tanpa pengetahuannya.

''Selama ini aku ikut sahaja apa yang dia nak. Dia suruh aku berhenti kerja, untuk jaga anak-anak, aku turut, dia suruh aku tidak terlalu bergaul dengan rakan-rakan dan jiran, aku ikut tetapi apa yang aku dapat," katanya Yana sambil cuba menyembunyikan nada suaranya yang mula bergetar.

Yana yang aku kenal adalah rakan tetangga yang telah berkahwin dengan Samsudin (bukan nama sebenar) lebih daripada 12 tahun. Selama itu kehidupannya tidak banyak berbeza dari hari ke hari.

Setiap hari terperuk di rumah menguruskan anak-anak yang semakin bertambah dan apabila bulan Syawal pula dia akan pulang ke kampung suaminya di sebelah pantai Timur sehingga cuti suaminya habis.

''Semua apa yang dikehendakinya saya ikutkan kerana sayangkan dia. Dia kata jangan terlalu rapat dengan jiran-jiran nanti dapat gelaran suka mengumpat dan suka jaga tepi kain orang.

"Kalau keluar rumah lama sedikit pun tidak boleh kerana katanya, lebih baik waktu yang ada dimanfaatkan untuk menguruskan anak-anak.

''Apa lagi kalau ada rakan-rakan jiran yang bertandang ke rumah, pastinya dia akan marah atau menjerkah rakan-rakan yang bertandang atas alasan datang ke rumah untuk mengumpat atau asyik bertandang ke rumah orang nanti kerja semua tidak beres.

''Sedangkan pada hakikatnya aku pun perlukan rakan-rakan untuk berbual. Pernah rasa keseorangan kerana sepanjang berpindah ke taman ini dahulu, aku tidak pernah keluar dari rumah hanya terperuk di rumah bersama anak-anak dan rakan-rakan tetangga mula menjauhkan diri atas sikap suamiku itu," katanya.

Suami Yana yang bekerja di sebuah kilang di pinggir ibu kota, akan keluar dari rumah awal pagi dan balik hanya lewat malam kerana katanya dia sibuk mencari duit tambahan untuk membesarkan anak-anak.

''Itu aku faham kerana dia seorang yang bekerja sudah tentu dia terpaksa bekerja lewat masa. Tapi bila ahli keluarganya yang datang ke rumah dia tidak kisah pula apabila kunjungan itu berhari-hari lamanya.

''Malah, setiap tahun apabila Syawal, aku pasti akan beraya di rumah mertua sepanjang cuti raya atas alasan keluargaku dekat.

"Selain itu dia tetap suami yang baik. Dia menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak dan kelengkapan rumah," katanya.

Namun satu hari apabila dia mendapat berita yang suaminya sering dilihat keluar membeli-belah bersama wanita silih berganti, sudah pasti Yana tidak mempercayai perkhabaran itu yang dibawa oleh jiran tetangga pada mulanya.

''Tuhan itu maha kaya, suatu hari telefon bimbitnya tertinggal di rumah ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan apabila berbunyi ku mengangkatnya dan mendengar suara seorang wanita di hujung talian.

''Cuba bayangkan perasaanku ketika itu, umpama jiwa dilontar dengan batu, pecah berderai. Seterusnya aku menyemak semua pesanan ringkas yang diterimanya dan sudah tentu aku yang selama ini amat mempercayai apa yang dilakukannya berasa begitu tertipu dengan pelbagai status yang dilabelkannya di dalam telefon canggih itu," katanya.

Patutlah kata Yana, sebelum ini dia tidak pernah membelikannya telefon bimbit kerana suaminya mengatakan biarlah dia seorang sahaja yang mempunyai telefon bimbit kerana dia bekerja manakala Yana berada di rumah.

Mujurlah di rumah ada telefon biasa yang boleh digunakan sekiranya ingin menghubungi sesiapa dan sudah tentu senarai panggilan akan disemak oleh suaminya setiap bulan atas alasan tidak mahu bil telefon melambung tinggi.

''Sebaik dia pulang dari kerja, aku terus menerjahnya dengan pelbagai soalan mengenai hubungannya dengan wanita lain.

''Selama ini dia yang melihatku 'kerdil', kini menikus apabila melihatku naik angin. Kami berperang besar hampir setiap hari dan anak-anak pun memihak kepada aku," katanya.

Yana berkata, dia mampu menjadi isteri yang taat tetapi kesabarannya itu pasti ada tahapnya apabila ketaatan dibalas dengan kecurangan oleh suaminya.

Malah apa yang amat mengguris hati Yana ialah suaminya mengawal pergerakannya dan menjadikannya seperti robot bodoh semata-mata untuk tidak mahu dia mengetahui mengenai tindak tanduknya di belakang Yana.

''Sekarang aku memang tidak percaya dengan dia dan sering memujukku dengan alasan dia tidak akan mengulangi apa yang dilakukannya.

"Malangnya dia telah melakukan kecurangan itu sejak lima tahun lalu dan aku tidak tahu malah adik-beradiknya juga bersubahat dengan perbuatan suami ku itu.

''Di depan kita, pijak semut pun tak mati, di belakang kita dialah tahi gigi," kata Yana yang sekarang sudah mula berniaga jualan langsung.

Selepas meratah beberapa ketul ayam goreng, Yana pun meminta diri untuk ke rumah jiran lain yang turut menjemputnya ke rumah terbuka.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...