Sekumpulan empat penjenayah warga Indonesia bergelar Geng Kerinchi
yang menggunakan ilmu hitam bagi memukau mangsa nampaknya tidak menjadi
apabila kesemua mereka ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu
kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun tersebut ditahan pada
pukul 8.30 pagi di rumah kongsi sebuah kilang papan dekat Semenyih pada
27 Julai lalu.
Kegiatan mereka berjaya ditumpaskan selepas mereka memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Teknologi, Kajang.
Suspek juga didapati berjalan kaki melalui hutan sejauh 10 kilometer
dari kawasan kilang ke rumah mangsa untuk mengelak daripada terserempak
dengan sesiapa.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pengurus kilang berusia
lingkungan 30-an kerugian RM10,000 apabila barangan berharga milikinya
dilarikan suspek.
Difahamkan, suspek menyapu minyak pukau pada badan masing-masing
sebelum memecah masuk rumah supaya penghuni yang terhidu cecair itu
berada dalam keadaan khayal. Minyak itu berbau wangi.
Sebelum itu, suspek menilik kad ilmu pelangkah yang dibawa khusus
dari kampung halaman mereka di Kerinchi, Jambi, Indonesia untuk
mengetahui sama ada mereka berjaya atau gagal memecah masuk rumah yang
disasarkan.
Selepas itu, keempat-empat suspek yang masuk ke negara ini sejak
seminggu lalu menghubungi ketua dukun bergelar Kiai di kampung mereka
sebelum lelaki tersebut menyalakan lilin di dalam bilik untuk membuat
ramalan.
Jika api bergoyang maka rancangan untuk merompak akan ada aral yang melintang.
Siasatan polis setakat ini mendapati suspek telah tiga kali keluar
masuk ke negara ini dan mereka dipercayai menghantar hasil samun pulang
ke kampung.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab
memberitahu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah
membabitkan suspek dan modus operandi yang sama dengan tertangkapnya
keempat-empat penyangak tersebut.
Kerugian keseluruhan daripada lima kes pecah rumah dianggarkan RM60,000.
sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.