Persetujuan untuk berkahwin bukanlah alat untuk 
permainan. Sekali diputuskan untuk meninggalkan alam bujang, tiada lagi 
erti kebebasan dalam membuat sebarang keputusan. Islam menggalakkan 
setiap hamba melakukan solat sunat istikharah, kerana setiap keputusan 
yang tidak tahu baik atau buruk natijahnya dipohon petunjuk kepada-Nya 
jua. Jika baik atau sebaliknya, Allah akan memberi ilham dan petanda 
kepada kita.
Sebaliknya jika telah berumah tangga,
 segala perbuatan dilakukan secara bersama di antara suami atau isteri. 
Pada waktu ini, segalanya perlu dibincangkan kerana membabitkan dua jiwa
 yang mempunyai hati budi, pendirian dan pandangan tersendiri. Sekalipun
 dalam menentukan corak dan cara berpakaian atau sebagainya.
Adalah
 wajar perkara penting dibincangkan bersama dengan pasangan agar setiap 
pihak merasa dihormati dan dihargai oleh pasangan hidup mereka. Tidak 
dibelakangkan atau ditinggalkan tanpa dipedulikan.
Selain
 itu, pasangan perlu mengubah apa jua cara hidup yang bertentangan 
dengan kemahuan pasangan hidup masing-masing yang bersifat menyalahi 
norma kebaikan yang diterapkan. Jika tidak, ia pasti menyebabkan 
hubungan akan mudah menjadi longgar, huru-hara dan rosak.
Hal
 yang sama juga bila seseorang itu dalam perkahwinan kedua. Suraya yang 
baru mencecah usia 19 tahun adalah isteri muda kepada salah seorang 
usahawan yang berjaya di selatan tanah air. Hubungan mereka yang singkat
 telah melahirkan bibit kemesraan hingga mendorong suaminya pada masa 
itu Johari, untuk bernikah. Nasib Suraya bertemu dengan suami yang baik,
 yang tidak mengambil kesempatan terhadap dirinya. Sebaliknya, 
mengharapkan hubungan yang terjalin diredhai Allah.
Dari
 segi soal kewangan Johari tidak ada masalah kerana dia sememangnya 
mampu untuk menyara lebih dari seorang isteri. Sebaliknya Suraya pula 
bukanlah ikhlas untuk bernikah dengan Johari, yang berusia sebaya 
ayahnya.
Dia sebaliknya lebih berminat dengan 
kekayaan dan kemewahan yang ditaburkan oleh Johari. Pada usia muda, 
Suraya hanya menggunakan segala kelebihan yang ada padanya untuk memikat
 dan memancing Johari sehingga mereka sah menjadi suami isteri.
Setelah
 menjalani kehidupan bersama hampir setahun, pelbagai masalah timbul. 
Johari mula merasa pening kepala dan paling Johari tidak boleh terima 
adalah sikap Suraya yang sanggup curang dengannya.
Suraya
 menggunakan segala kemewahan yang diberikan untuk berfoya dan curang 
bersama dengan kekasih gelapnya di rumah lain setiap kali Johari tiada 
di rumah. Suraya akan diambil dan akan pulang keesokan hari. Sekalipun 
Suraya merasakan tindakannya adalah bijak dan mampu menipu Johari, ia 
akhirnya dapat diketahui oleh Johari jua.
Tersedar Dari Lamunan 
Suraya
 melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga Johari menyedarinya. Oleh 
kerana Johari merasakan Suraya tidak mampu menjaga maruah dan bersikap 
curang akhirnya Johari dengan rela hati untuk menceraikan Suraya secara 
baik.
Bermulalah kehidupan baru bagi Suraya yang 
turut tidak tunggu lama untuk mencari pengganti. Kekasih gelapnya setia 
menanti Suraya sehingga habis edah dan bernikah dengan menggunakan duit 
yang Johari berikan sebagai imbuhan perceraian kepada Suraya. Sekalipun 
tiada akad nikah yang boleh dijalankan di dalam tempoh tersebut, Suraya 
dan Yusof sudah tinggal sebumbung dan bergaul seperti suami isteri.
Malah
 kekasih gelapnya, Yusoflah yang menyokong Suraya dari belakang tanpa 
Johari sedari. Hatta semasa Johari menceraikan Suraya di dalam mahkamah,
 Yusof turut hadir bersama bagi melihat sendiri apa yang berlaku dan 
memberi sokongan dan kekuatan moral.
Namun Johari 
tetap tidak mempunyai anggapan buruk dengan apa yang Suraya lakukan. 
Namun langit tidak selalu cerah, pernikahan kali kedua Suraya tidak 
seindah yang diharapkan. Segala kemewahan yang pernah dikecapinya dahulu
 ketika bersama Johari, kini sudah tiada lagi. Segala-galanya bertukar 
dan berubah dalam sekelip mata. Suraya terpaksa melakukan segala 
keperluan rumah termasuk mencari belanja dapur apabila Yusof semakin 
lama mengelak daripada bertanggungjawab dan lupakan tentang amanah yang 
digalasnya.
Yusof sendiri tidak mempunyai 
pekerjaan tetap, jika dahulu segala kemahuannya diperoleh dari duit yang
 di tangan Suraya. Suraya merasa amat terkilan dengan apa yang berlaku 
dan mula cuba berbaik dengan Johari.
Di mahkamah, 
Suraya memfailkan permohonan perceraiannya dengan Yusof. Bermacam alasan
 dan pernyataan yang ditulisnya bagi menyokong permohonan. Namun Yusof 
tidak semudah itu untuk mengiakan permohonan Suraya.
Di
 dalam mahkamah, Yusof menafikan segala tuduhan yang Suraya lemparkan 
dan mengatakan bahawa Suraya adalah isteri yang sangat boros dan tidak 
tahu bersyukur dengan pemberiannya. Betapa sebenarnya Suraya berdepan 
dengan kes yang amat sukar untuknya dibuktikan. Tanpa ada sebarang 
sokongan dokumen, fakta yang jelas dan keterangan saksi yang dapat 
mengikat tuduhan yang dilemparkannya.
Barulah 
Suraya merasa terkilan dan sedar betapa dahulu, Allah telah 
mempertemukannya dengan seorang lelaki yang sangat budiman dan sanggup 
memelihara maruah dan membimbingnya ke arah kebaikan dan sanggup 
memudahkan keinginannya hatta dalam soal perceraian.
Kini
 mahu tidak mahu, Suraya terpaksa berdepan dengan kerenah dan mehnah 
yang diciptanya sendiri bersama Yusof. Dalam kesempatan yang ada, Yusof 
yang mengetahui bahawa Suraya cuba berbaik dengan bekas suaminya 
terdahulu telah meletakkan harga bagi perceraian yang dipinta.
Yusof
 tahu, sekalipun Suraya tidak mempunyai wang atau simpanan sebanyak yang
 dipinta, Suraya mempunyai sumber lain dan akses dari Johari, yang 
sentiasa lemah dengan segala pujuk rayu Suraya. Hingga kini, Johari 
masih belum melibatkan diri dalam apa-apa peringkat kes Suraya. Baginya 
Suraya telah mati atau wanita yang sukar dipercayai.
DARI FAIL MAHKAMAH SYARIAH
sumber: Mingguan Wanita 
 

 
 
 
padan muka
ReplyDeleteSaya bersetuju dengan tindakan Johari. Carilah orang lain. Semoga dia ditemukan dengan jodoh yang lebih baik.
ReplyDeletesendiri buat sendiri tanggung la...
ReplyDelete