Translate in your language

Monday, 16 July 2012

KISAH JANDA HOT..!!



PERJALANAN seni Katie Holmes bermula pada usia 18 tahun. Sewaktu itu dia hanya seorang gadis manis yang berpenampilan serba ringkas dan feminin. Jika tidak menyarungkan seluar jean bersama baju-T anak kelahiran Toledo, Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu lebih selesa menggayakan dres mini atau skirt pendek yang disuai padan dengan blaus.

Namun, sejak membintangi siri televisyen remaja Amerika, Dawson's Creek sekitar tahun 1998 hingga tahun 2003, graf populariti Katie atau nama sebenarnya Kate Noelle Holmes, melonjak naik. 

Tambahan pula pada tahun 2003, anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu disenaraikan sebagai 50 Wanita Tercantik, sebelum dua tahun kemudian dipilih menduduki senarai top 10 kategori Selebriti Pakaian Terbaik. Kedua-dua pengiktirafan tersebut merupakan anjuran majalah People iaitu majalah mingguan di AS yang memaparkan rencah kehidupan selebriti Hollywood.

Barangkali bersahabat baik bersama penyanyi, pereka dan ikon fesyen popular, Victoria Beckham secara tidak langsung mendorong Katie sentiasa menitikberatkan aspek penampilan dan tata rias diri. Selebriti wanita berusia 33 tahun itu juga dilihat semakin bijak memilih potongan rambut ideal serta berfesyen mengikut peredaran zaman.

"Usah takut atau bimbang kerana usia sekadar angka. Seharusnya kita meneruskan kehidupan dengan rutin harian yang menyeronokan dan berfikiran positif. Tidak dinafikan pada usia 20 tahun, saya mempunyai sikap tamak. Semua hendak dilakukan tanpa mengambil kira kesihatan badan dan minda.

"Kini seiring pertambahan usia, saya berusaha untuk menjalani cara hidup sihat sebaik mungkin dengan menitikberatkan aspek pemakanan seimbang dan bersenam. Walau bagaimanapun sehingga kini saya masih sukar untuk mengurangkan pengambilan kafein. Bayangkan setiap hari, saya wajib menikmati secawan latte vanila Starbucks," jelas Katie.


Dengan kecantikan yang dimiliki, tumpuan media kepada anak kepada pasangan Kathleen dan Martin Joseph Holmes itu bukan saja tertumpu sekitar aktiviti lakonannya sahaja.

Apatah lagi, sekitar tahun 2006, Katie disunting menjadi suri hati kepada pelakon kacak, Tom Cruise dan memiliki seorang cahaya mata perempuan bernama Suri, Katie sentisa diburu paparazzi.
Berkahwin dengan seorang pelakon lelaki paling berpengaruh di Hollywood sedikit sebanyak memberi kelebihan dan keistimewaan kepada Katie. Salah satunya, menerima bermacam-macam tawaran untuk menghiasi kempen iklan kosmetik dan aksesori jenama terkemuka. 

Antaranya, dia pernah bekerjasama dengan jenama fesyen mewah Mui Mui pada tahun 2008 dan muncul dalam iklan pewarna rambut Garnier, barangan kulit Coach serta koleksi pakaian The Gap.
Kini kemanisan rumah tangga Katie bersama Tom yang disemai selama enam tahun berakhir dengan penceraian yang memeritkan. Kisah perpisahan mereka hangat diperkatakan memandangkan sebelum ini pasangan sensasi Hollywood itu hidup bahagia dan serasi bersama.

Pelbagai pihak mendakwa faktor utama penceraian adalah kerana ketidakpuasan hati Katie terhadap bekas suaminya yang mendedahkan Suri kepada anutan agama Scientology.


Jenama Holmes & Yang

Kegagalan rumah tangga yang dialami menyebabkan Katie kehilangan berat badan hampir 30 kilogram. Namun situasi berkenaan sedikitpun tidak menyebabkan wanita setinggi 175 sentimeter itu dirundung kesedihan yang berpanjangan. Sebaliknya, dia mengisi kekosongan dan memulihkan semangat dengan menceburkan diri dalam bidang fesyen. Kini dia semakin sibuk menyiapkan koleksi busana di bawah jenama Holmes & Yang yang diusahakan bersama sahabat baiknya, Jeanne Yang.
Seleksi fesyen Holmes & Yang terdiri daripada pakaian formal, koktel, pejabat dan kasual. Buat julung-julung kalinya ia akan dipamerkan kepada umum pada bulan September ini, sempena pertunjukan Minggu Fesyen New York.


"Di butik Holmes & Yang, wanita berpeluang memiliki baju-T, seluar, jaket, dres labuh dan pendek. Tidak ketinggalan jumpsuit pelbagai warna dan potongan yang diperbuat daripada material berkualiti. 

"Selain itu, fesyen Holmes & Yang juga hadir dalam rekaan yang ringkas dan praktikal memandangkan saya kurang gemar pada rekaan berlebihan seperti lengan tangan gelembung, skirt bertingkat-tingkat atau reben bersaiz besar," jelas Katie kepada New York Times.


J.Lo obses rona terang

Sementara itu, Jennifer Lopez atau J.Lo, antara janda paling hangat di Hollywood. 


Biarpun bakal menginjak usia 43 tahun pada 24 Julai ini, anak kelahiran The Bronx, New York, Amerika Syarikat (AS) itu masih tampil muda, langsing dan jelita.

Jelas ibu kepada anak kembar Max dan Emme, 3, bukan mudah untuk mengekalkan bentuk fizikal seperti wanita muda. Ia memerlukan disiplin dan ketahanan mental yang tinggi terutamanya yang melibatkan aktiviti senaman serta diet.

"Saya bekerja keras dan sanggup mengupah jurulatih peribadi bagi memastikan rutin senaman yang dilakukan bersesuaian dengan usia dan tahap kecergasan saya. Selain yoga dan menari, saya juga gemar melakukan aktiviti kick boxing untuk kekuatan otot.
"Bukan itu saja, salah satu cara untuk tampil muda dan tampak ceria, saya akan memilih pakaian berasaskan warna terang seperti biru, kuning, merah, merah jambu, ungu dan hijau. Olesan gincu rona terang juga memainkan peranan bagi menyuntik penampilan yang segar," terang J.Lo bekas isteri kepada penyanyi Marc Anthony.


Katy berambut biru
 
Bagi Katy Perry, 28, yang disahkan bercerai dengan Russell Brand, pada bulan Februari lalu, dia mempunyai corak penampilan yang tersendiri. Sebelum ini penyanyi kelahiran Santa Barbara, California, AS, cukup sinonim menyarungkan pakaian karakter animasi dan funky.

Ini termasuklah obses menukar gaya dan warna rambut yang kadangkala mengundangkan pandangan pelik daripada orang sekeliling. Namun pelantun lagu, Hot n Cold itu langsung tidak mengendahkan persepsi negatif berkenaan, malah semakin berani mencuba warna dan stail rambut yang terbaharu.

Kini pemilik nama sebenar Katheryn Elizabeth Hudson itu memilih untuk tampil dengan rambut berwarna biru. Seperti biasa ada pihak yang memuji, ada juga pihak yang kurang berpuas hati. Mereka menyifatkan tindakan Katy berkenaan akan merosakkan tekstur dan warna asal rambutnya.


Hitam putih Kim Kardashian

Kim Kardashian yang dilahirkan di Los Angeles, AS, sering tampil di kebanyakan acara dalam persalinan hitam atau putih. Bekas isteri, pemain profesional bola keranjang AS, Kris Nathan Humphries itu, menyifatkan warna hitam dan putih menampakkan dia kelihatan seksi serta menawan.
"Jangan prejudis pada warna kerana setiap warna mempunyai aura yang tersendiri. Saya akui ramai wanita menyukai warna merah jambu atau nuansa pastel, tetapi bagi saya hitam dan putih menyuntik penampilan yang mempesonakan," kata Kim dalam satu temu bual.

sumber : Kosmo Online


1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...