Translate in your language

Thursday, 31 May 2012

Emosi Zamzarina tewas


EMPAT tahun mengendalikan program Apa Kata Wanita memberikan ruang kepada pengacara program itu, Zamzarina Zambri (Zam), 39, mengenali ramai wanita cemerlang dan tidak kurang juga menyelami pelbagai masalah yang membelenggu kaum hawa itu.

Bagaimanapun, wawancara paling menyentuh perasaannya adalah bersama seorang pesakit barah payudara. Kata pengacara cantik mesra disapa Zam itu, dia masih ingat sewaktu mengendalikan temu bual itu, semua penonton yang berada di studio menangis hinggakan dia sendiri tewas dek emosi pada saat itu. 

“Wanita itu berkata kepada saya, kalau ditakdirkan dia mati, dia sudah bersedia kerana selama hidup dia puas menjadi isteri kepada suaminya. Paling mengharukan apabila suaminya pula mengakui meskipun sebelah payudara isterinya sudah tiada lagi, itu langsung tidak mencacatkan kewanitaan isterinya itu pada pandangan matanya.

“Beberapa bulan selepas temubual itu, wanita berkenaan akhirnya meninggal dunia. Lalu Apa kata Wanita memberi penghormatan kepadanya dengan membuat liputan saat pengebumian selain mengimbas semula temu bual yang pernah dibuat dengannya sebelum ini,” kata Zam dalam nada terharu.

Bagi Zam, itu antara 1,001 cerita indah pasangan suami isteri yang saling menyayangi dan mencintai antara satu dengan lain sehingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, ramai pengadu yang datang kepadanya sebagaimana pernah disiarkan dalam program Apa Kata Wanita adalah golongan hawa yang kurang bernasib baik.

Kisah hidup mereka itu memberi cetusan inspirasi kepada Zam untuk menerokai dunia perniagaan yang memberi keuntungan dan peluang pekerjaan kepada wanita tanpa mengeluarkan modal.


Ditanya mengenai skop tugas sebagai pengacara di RTM, Zam akui, dia sangat selesa berkhidmat dengan stesen itu kerana mereka memberikan kebebasan kepadanya.


“Memang ada tawaran daripada stesen TV lain, tapi saya lebih selesa berkhidmat dengan RTM. Kalau stesen TV lain belum tentu saya mendapat keselesaan yang saya nikmati sekarang kerana mungkin akan ada banyak persaingan,” kata ibu tiga anak ini.


Nyata Zam bijak membahagikan masa antara keluarga dan tugasnya. Dia akui berkahwin pada usia muda iaitu 21 tahun dan sekarang sudah punya tiga anak termasuk yang sulung mencecah usia remaja.


Jika sebelum ini syarikat miliknya, Studio One Creative (SOC) yang ditubuhkan pada Mei 2010 menerajui bidang khidmat nasihat kursus serta latihan pembangunan modal insan, terbaru syarikat itu memperkenalkan jenama Harmony iaitu rangkaian produk penjagaan kebersihan peribadi, makanan kesihatan dalaman dan luaran.


“Seperti saya katakan pada awal tadi, mengendalikan program Apa Kata Wanita menemukan saya dengan ramai wanita yang mengalami masalah berbeza-beza. Salah satunya, saya menemui ramai suri rumah, ibu tunggal dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin memulakan perniagaan, tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Satu lagi masalah mereka ketiadaan modal berniaga. Kebanyakan wanita ini bersemangat tinggi untuk bekerja bagi menampung keperluan hidup serta anak dan keluarga, namun dihalang beberapa faktor.


“Ada yang tiada pengalaman bekerja, tidak punya kelayakan akademik, faktor meningkat usia dan keterbatasan untuk keluar bekerja kerana tanggungjawab sebagai ibu. Namun, mereka bersemangat bekerja.


“Ini mencetuskan idea untuk mewujudkan rakan niaga Affiliate Harmony bagi memberi peluang kepada mereka mencari pendapatan sampingan. Teknik ini mudah kerana mereka tidak perlu menyediakan modal permulaan atau menyimpan stok di rumah,” katanya.


Zam menambah, pemasaran Affiliate Harmony ialah model bisnes pemasaran yang memberi peluang mempromosi dan menjual produk milik sesebuah syarikat.


Apabila pelanggan membeli, mereka akan memperoleh komisen daripada jualan produk itu.


Mewujudkan pemasaran maya secara sistematik, SOC mendapatkan khidmat perunding jualan dan pemasaran antarabangsa Amerika Syarikat, Chris Randolph bagi membangun serta menghasilkan alat pemasaran maya untuk rakan niaga Affiliate Harmony.


“Kalau kita lihat sekarang ini ramai yang menggunakan kemudahan internet untuk menjalankan perniagaan dan memasarkan produk mereka kerana ia berkesan tanpa menggunakan modal. Bagi mereka yang berminat menjadi rakan niaga kami, pendaftaran adalah percuma. Rakan niaga menerima satu set bahan pemasaran iaitu link ‘web banner produk’ yang direka setiap satu khusus dengan kod ID bagi setiap rakan niaga Affiliate produk Harmony,” katanya.


Katanya, produk Harmony terdiri daripada lapan jenis merangkumi penjagaan kebersihan peribadi seperti tablet intimasi untuk membantu menghangatkan hubungan suami isteri.


Semua rangkaian produk itu 100 peratus berdasarkan herba, halal, selamat dan berkesan serta di formulasi oleh Doktor Hemeopati dan Santis terkemuka yang juga pengilang OEM-GMP berstatus Bumiputera.


sumber: Harian Metro 

ANDA MUNGKIN SUKA NAK BACA.. TERSERAH PADA SELERA MASING-MASING..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...