Tidak dapat dinafikan, produk kosmetik dan penjagaan kulit mengandungi pelbagai bahan kimia. Justeru tidak hairanlah begitu banyak laporan tentang kesan buruk penggunaan produk-produk itu termasuk khabar angin yang mengatakan bahawa deodoran boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Adakah dakwaan itu benar?
Usah ditelan bulat-bulat segala perkara yang anda dengar. Berikut, lima mitos tentang penggunaan deodoran dan antipeluh, yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak termasuk American Cancer Society.
1. Deodoran meningkatkan risiko kanser payudara.
Hampir tiada bukti saintifik yang menyokong mitos ini. Beberapa saintis pernah melakukan kajian pada tahun 2002 yang melibatkan 813 wanita yang menghidap kanser payudara dan 793 wanita sihat.
Para saintis tidak menemukan kaitan antara risiko kanser payudara dengan penggunaan deodoran, atau dengan kebiasaan mencukur bulu ketiak.
2. Memakai deodoran selepas mencukur bulu ketiak akan menyebabkan bahan kimia berbahaya mudah menyerap ke dalam tubuh dan mengakibatkan kanser payudara.
Jika anda mencukur dan secara tidak sengaja mencederakan kulit ketiak anda, kulit anda berisiko terkena jangkitan. Apabila kulit yang terluka atau terjena jangkitan disapu dengan deodoran, sudah tentu ia akan mengakibatkan kerengsaan pada kulit. Yang pasti, ia tidak menyebabkan kanser payudara.
3. Deodoran mengandungi bahan kimia parabens yang mengakibatkan kanser.
Kajian menunjukkan bahawa parabens mengandungi bahan yang serupa dengan hormon estrogen. Risiko kanser payudara memang meningkat sekiranya tubuh terdedah kepada jumlah estrogen yang banyak. Namun estrogen dalam parabens amat sedikit berbanding estrogen yang dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh kita.
Fakta lain: parabens tidak hanya terkandung dalama deodoran, tetapi juga dalam syampu, losyen badan, pelindung mentari dan pelbagai produk solekan. Kajian lain juga menunjukkan bahawa parabens boleh dikesan dalam air kencing 99% manusia. Namun hingga kini, belum ada bukti yang parabens mengakibatkan kanser.
4. Antipeluh mengurangkan pengeluaran peluh sekali gus menghalang penyingkiran bahan toksin keluar daripada tubuh.
Tubuh mengeluarkan bahan toksin yang berpotensi mengakibatkan kanser dengan bantuan buah pinggang dan hati, bukannya melalui peluh. Bahan-bahan berbahaya itu disingkirkan melalui air kencing dan najis.
5. Bagi lelaki, risiko menghidap kanser payudara adalah lebih kecil kerana mereka tidak mencukur bulu ketiak justeru bahan-bahan kimia dalam deodoran tidak menyerap ke dalam kulit.
Risiko lelaki menghidap kanser payudara adalah jauh lebih kecil berbanding wanita. Ini kerana tisu payudara lelaki adalah sedikit berbanding yang dimiliki oleh wanita.
Tisu payudara wanita adalah 100 kali ganda lebih banyak justeru wajarlah risiko kanser payudara pada wanita pun 100 kali lebih tinggi. Satu lagi perkara yang menyebabkan perbezaan tingginya risiko kanser payudara ialah hormon.
Jika seseorang lelaki mempunyai kadar hormon estrogen yang tinggi, dia berhadapan risiko lebih besar untuk menghidap kanser payudara -- bukan kerana bulu ketiak atau pun deodoran.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.