SELALUNYA hidangan ketupat dan lemang dinikmati bersama rendang
daging atau ayam namun kini, kepala lembu mula digemari sebagai juadah
Hari Raya Aidilfitri.
Ia kedengaran agak pelik tetapi itulah cerita seorang penjual daging Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.
Menurut pemilik Wahidannie Livestock (M) Sdn. Bhd., Abdul Wahid
Ramlan, sebelum ini orang ramai gemar membeli gear box iaitu tulang
lutut lembu untuk dimasak sup tetapi selera itu nampaknya beralih kepada
kepala lembu yang dikatakan enak dimasak rendang, kari atau lemak.
Abdul Wahid yang berumur 38 tahun telah lebih 20 tahun menguruskan perniagaan keluarganya menternak dan menjual lembu.
“Sebenarnya, hampir kesemua bahagian lembu boleh dimakan termasuk kepala dan lemaknya.
“Kepala lembu itu akan dilapah terlebih dahulu dengan mengasingkan
daging dan otak manakala tulangnya dipotong kecil-kecil. Daging kepala
lembu lebih lembut teksturnya dan manis.
“Bagi satu kepala, kira-kira 2 kilogram daging boleh didapati,
bergantung pada saiz kepala lembu berkenaan,” katanya kepada Jurnal.
Kebanyakan pembeli kepala lembu Abdul Wahid berasal dari Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. “Sebaik sahaja lembu disembelih, kepala lembu itu sudah ada pembelinya. Harganya antara RM80 hingga RM200,” ujarnya.
Bakar kulit
Tutur Abdul Wahid, dia dapat menjual lebih 100 kepala lembu setiap
kali menjelang Aidilfitri. Kebanyakan pelanggan meminta Abdul Wahid
membuang kulit, gigi serta bahagian mulut lembu itu terlebih dahulu.
“Ada juga pelanggan yang membelinya terus tanpa perlu dibuang bahagian tertentu. Kebanyakan mereka berasal dari benua Afrika.
“Khabarnya, mereka akan terus membakar kepala lembu itu sebelum
memakan semua isinya termasuk biji mata. Saya tidak tahu pula apa
rasanya,” katanya.
Bercerita mengenai bekalan, Abdul Wahid memberitahu, kebanyakan stok
haiwan itu diperoleh daripada tiga buah ladang lembu di Negeri
Sembilan dan Selangor.
“Kedua-dua ladang itu mampu menampung permintaan semasa perayaan
kerana mereka memiliki bilangan ternakan matang yang melebihi 1,000
ekor,” ujarnya sambil memberitahu, permintaan menjelang Aidilfitri
biasanya bertambah sekitar 35 peratus.
Secara perbandingan, sekiranya bekalan pada bulan biasa sekitar 300
ekor lembu, menjelang Aidilfitri jumlahnya meningkat kepada 400 ekor.
“Daging lembu merupakan hidangan utama rakyat negara ini khususnya kaum Melayu,” katanya.
Dia menambah, ramai pelanggan yang membeli pada saat akhir
terutamanya pada malam raya menyebabkan dia tidak menang tangan untuk
melayan mereka.
“Kadangkala sampai pukul 3 pagi pun masih ada pelanggan yang
datang untuk membeli daging. Sebagai peniaga, kami harus memastikan
stok sentiasa ada,” jelasnya.
Lemak
Seorang pekerja Wahidannie Livestock, Azman Mohammad Adman, 23, yang
berasal dari Yangoon, Myanmar, berkata, dia telah tiga tahun beraya di
negara ini. Menurutnya, daging lembu dimasak dengan cara yang agak
berbeza di negaranya.
“Di Myanmar, semua bahagian lembu termasuk lemak dan kulit akan dimasak bersama. Kebanyakan dimasak kari.
“Semasa Hari Raya Aidilfitri, ia akan dimakan bersama nasi sama seperti hari biasa,” katanya.
Rakannya, Saad Nurullah pula mengatakan rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dapat menikmati makanan lazat setiap hari.
“Saya sendiri berasa tenang dan hidup agak selesa di sini berbanding
negara asal. Segala keperluan boleh diperoleh dengan mudah,” katanya.
sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.